Jumaat, 5 Februari 2010

BONEKA LUKA...

SHAH ALAM, 20 Januari 2009 – Wanita yang selama ini menjadi buruan polis atas tuduhan membunuh seorang ahli keluarganya telah berjaya diberkas lewat malam semalam. Wanita pertengahan 20-an yang dikenali sebagai Atirah Mohd Radzi ditahan di sebuah hotel murah di Ampang selepas menerima aduan daripada orang awam. Wanita itu disyaki berlegar-legar di sekitar hotel tersebut dalam keadaan yang mencurigakan sebelum mendaftar masuk ke hotel berkenaan.
Pegawai kewangan sebuah syarikat swasta itu disyaki membunuh kakak kembarnya, Atikah Mohd Radzi dengan kejam di sebuah rumah kosong yang terbiar berhampiran Balai Bomba Ampang. Mayatnya dijumpai dalam keadaan yang ngeri dengan kaki dan tangannya putus dari badan serta kesan torehan di wajahnya sehingga sukar untuk pihak polis membuat pengecaman. Mayatnya dihantar ke Hospital Ampang untuk bedah siasat.


“Dahsyatnya perempuan ni. Kakak sendiri pun nak dibunuhnya. Memang tak ada hati perut langsung.” Ujar Pak Akob lalu menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia sedang minum di kedai kopi seperti kebiasaannya bersama rakan-rakannya.
“Apa yang nak dihairankan, Kob. Dunia nak kiamat. Macam tulah.” Balas Haji Senin acuh tak acuh. Malas dia mahu mengambil tahu akan berita hangat itu. Lantaklah, bukan keluarga aku pun, desisnya.
“Tu aku tahu. Tapi, budak perempuan ni kejam tahu. Cara dia bunuh kakak dia…ishy, ngeri aku nak cerita.” Tambah Pak Akob.
“Mungkin dia gila agaknya.” Baha merumus sendiri. Dia terlebih dahulu sudah membaca berita yang menjadi muka hadapan Berita Harian itu. Malah, malam semalam juga dia sempat mengikuti perkembangan kes pembuhuhan itu di kaca televisyen.
“Mungkin jugak. Orang waras tak mungkin sanggup buat macam ni.”
“Pak Akob, saya rasa perempuan ni mesti ada sebab kenapa dia buat macam ni.” Sampuk Hadi yang singgah ke meja mereka untuk menghantar kopi o panas untuk Haji Senin.
“Sebab apa?” Baha seakan berminat untuk tahu. Matanya tunak pada Hadi. Begitu juga Pak Akob dan Haji Senin.
“Dendam.”



Suasana pilu masih lagi menyelubungi keluarga Allahyarham Atikah. Keadaan mayat Atikah yang dikerat tangan dan kakinya serta muka yang ditoreh dalam masih lagi menghantui mereka. Kejadian ngeri itu memberi tekanan hebat kepada mereka sekeluarga.
Atikah, anak perempuan kesayangan Mohd Radzi dan Zalina. Cantik, pandai serta menghormati orang tua. Sayang sekali kematiannya sangat tragis untuk dikenang. Kasihan Atikah.
“Lina rasa macam baru semalam aje kita kahwinkan Ika, kan bang. Dia nampak bahagia sangat masa tu.” Luah Zalina setelah lama duduk termenung di sofa. Di tangannya ada album gambar semasa perkahwinan Atikah dan Syawal dua tahun yang lau.
“Apalah salah Ika, bang. Sampai hati Atirah buat dia macam tu. Dulu, dia bunuh Rina. Sekarang Ika pulak.” Ngongoi Zalina tiba-tiba.
“Sabar, Lina. Ini ujian Allah untuk kita sekeluarga.” Pujuk Mohd Radzi lalu menarik isterinya itu ke dalam pelukan.
“Nak sabar macam mana lagi, bang. Ika dah tak ada. Anak saya dah mati.” Ratapan Zalina semakin kuat. Terluka sungguh hatinya mengenangkan cara Atikah dibunuh.
“Sudahlah tu, Lina. Abang pun sedih jugak. Dua-dua anak kita. Atirah pun dah kena tahan sekarang.” Sesal Mohd Radzi mengenangkan nasib keluarganya.
Mengenangkan Atirah, Mohd Radzi sungguh kesal dengan apa yang telah berlaku. Dia tertanya-tanya, apakah yang menyebabkan Atirah tergamak menamatkan riwayat hidup darah dagingnya dengan sebegitu rupa. Mungkinkah Atirah pernah berdendam dengan Atikah? Apa salah Atikah?
“Kejamnya dia bang. kalau Lina tahu macam ni jadinya, masa dia kecik dulu Lina dah bunuh dia. Tak sangka Lina, anak yang Lina kandung sanggup membunuh darah daging sendiri. Anak perempuan kita semuanya mati kat tangan dia. mula-mula Airina, sekarang Atikah.” Basah baju kemeja Mohd Radzi dek air mata isterinya itu.
“Jangan cakap macam tu, Lina. Mengucap…”
Tanpa sedar, air matanya mengalir. Tangisan seorang ayah pecah juga akhirnya mengenangkan kisah lalu. Airina, anak bongsu yang masih belajar darjah dua ketika itu. Dia mati dilanggar lori semasa ingin melintas jalan bersama Atirah ke kedai di seberang jalan. Kepalanya hancur dilenyek tayar lori ais. Atirah langsung tidak cedera kerana dia sebetulnya berada dua meter di hadapan Airina ketika itu. Padahal, awal-awal lagi sudah dititipkan pada Atirah supaya menjaga adiknya sehingga dia datang mengambil mereka di sekolah. Tetapi, Atirah lupa pesanannya itu. Atirah menjadi penyebab kematian Airina.
Kini, Atikah pula yang menjadi mangsa. Tegarnya dia membunuh Atikah sekejam itu. Kedua-dua tangan dan kakinya dipotong hingga putus. Wajah cantik Atikah kelihatan ngeri dengan kesan torehan sehingga sukar sekali dia dan isterinya mahu mengecam mayat anak kesayangan mereka itu. Di sisi mayat Atikah di rumah kosong itu, ada parang dan alatan tajam lain yang digunakan untuk membunuh anaknya. Tanpa disangka oleh pihak polis, ada tulisan berdarah di dinding rumah itu yang membuatkan Atirah menjadi suspek utama pembunuhan kejam itu. ‘Ira benci Ika!’, begitulah yang terdapat di dinding rumah kosong itu.
“Kitakah yang bersalah bang?” tanya Zalina tiba-tiba. Wajahnya didongakkan menghadap wajah suaminya.
“Maksud Lina?” bergetar suara Mohd Radzi.
“ Atirah jadi macam tu kerana kita.”
Wajah Mohd Radzi pucat tiba-tiba.



Ihsan menghadap jendela di kamar tidurnya yang sepi malam itu. Dingin angin malam sedikitpun tidak memberi kesan pada tubuhnya yang tidak berbaju itu. Hatinya pilu mengenangkan musibah yang menimpa bekas keluarga mentuanya. Seolah-olah baru semalam Atikah mengucapkan maaf padanya kerana memungkiri janji setia mereka.
“Entschuldigen…entschuldigen sie bitte.” Pohon Atikah dalam bahasa Jerman, yang bermaksud maafkan saya.
Dia dan Atikah sama-sama menjalinkan hubungan cinta sejak belajar di Universiti Stuttgart, Jerman. Cinta mereka mekar sehinggalah Atikah pulang ke tanah air dan menikahi pemuda pilihan keluarganya, Syawal. Atikah mendustai cinta mereka.
“Syawal rakan sepermainan Ika. Ika sayang dia. Ika tak sampai hati nak tolak lamaran dia. Dah lama dia tunggu Ika.” Ujar Atikah dalam telefon lewat malam itu.
“Habis, macam mana dengan San? San juga sayang pada Ika. San tak mahu kehilangan Ika.” Hampir gugur air mata lelaki Ihsan waktu itu. Sampai hati Atikah…
“San lupakanlah Ika. Ika sayang San tapi cuma sebagai sahabat aje. Masa kat sana San seorang yang ambil berat tentang Ika, itu yang membuatkan Ika jatuh suka pada San. Suka tak bermakna cinta San!”
“Jadi, Ika pergunakanlah kebaikan San selama ni? Macam tu?” tinggi suara Ihsan menyoal.
“Anggap ajelah macam tu kerana Ika tak kuasa untuk menafikannya.” Putus Atikah sebelum mematikan telefon bimbitnya.
Itulah kali terakhir mereka berhubungan. Bermula dari saat itu, Ihsan bagai orang gila yang menyesali cintanya yang tidak kesampaian. Sehinggalah saat dia mengetahui kewujudan kembar Atikah iaitu Atirah. Dia mula menyusun rencana untuk mendekati Atikah melalui Atirah. Lalu, lamaran dihantar dan diterima.
Namun begitu, perkahwinannya bersama Atirah merupakan kesalahan paling besar yang pernah dilakukan dalam hidupnya. Tanpa sedar, dia mendera emosi Atirah yang benar-benar mendambakannya sebagai suami. Gadis itu menjadi mangsa dalam sandiwara yang diciptanya. Padahal, niatnya cuma mahu membuatkan Atikah cemburu. Atikah pula langsung tidak tergugat dengan kehadiran dirinya sebagai ipar.
Lalu, setelah hampir lima bulan menjadi suami Atirah, Ihsan mengambil keputusan untuk menceraikan Atirah. Tiada guna ikatan perkahwinan ini andainya tiada cinta antara mereka. Cintanya hanya untuk Atikah. Begitulah alasannya pada Atirah. Masih lagi dia teringat air mata Atirah yang mengalir saat talak dijatuhkan.
Ihsan kasihan pada Atirah kerana menjadi mangsa dalam permainannya. Tetapi, dia tidak mampu berbuat apa-apa. Walaupun dia mengahwini Atirah kerana mahu mendekati Atikah, namun sikitpun tiada niatnya untuk memporak-porandakan rumah tangga Atikah. Dia cuma mahu mendekati Atikah kerana rasa cintanya masih ada untuk isteri Syawal itu. Dan Atirah terseksa batin dan perasaannya di tengah-tengah kemelut itu.
Kini, Atikah sudah tiada lagi. Atikah yang dicintainya sudah meninggalkan dunia fana ini. Dan bekas isterinya, Atirah disyaki sebagai suspek utama kes pembunuhan ini. Kedua-dua insan yang pernah hadir dalam hidupnya saling menyimpan dendamkah sehingga ianya meragut nyawa Atikah?
Kalau benarlah Atirah yang membunuh Atikah, atas motif apa dia melakukan perbuatan keji itu? Adakah Atirah marah kerana dia menceraikan gadis itu gara-gara ada insan lain yang bersemayam di hatinya? Dan insan itu adalah Atikah.
Kalau dia marah, kenapa Atikah yang menjadi mangsa? Padahal, Ihsanlah yang membuatkan hatinya bagai kaca yang jatuh berderai tatkala lafaz cinta itu bukan untuknya. Kenapa tidak dibunuh sahaja Ihsan kerana Ihsanlah yang mempergunakan dirinya untuk kepentingan sendiri?
“Oh Tuhan, kenapa begini jadinya? Kenapa Atirah membunuh Atikah? Salah akukah?” rintih Ihsan sendirian ditemani langit malam yang kelam tanpa bintang.





Dua bulan kemudian…

“Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati pada Atirah Mohd Radzi atas tuduhan membunuh dengan niat Atikah Mohd Radzi…”
Di luar mahkamah, wartawan-wartawan sudah ramai yang berkumpul menantikan pesalah jenayah yang sudah dijatuhi hukuman mati itu. Cuaca panas terik tengah hari sedikitpun tidak melemahkan semangat mereka untuk membuat liputan kes pembunuhan yang telah menggemparkan negara awal tahun baru ini.
Suasana semakin riuh apabila Atirah dibawa keluar dari mahkamah diiringi empat orang polis wanita. Tangannya bergari. Dia berjalan sambil menundukkan kepala tanpa menghiraukan manusia-manusia yang sedang mengatakan tentang dirinya di sepanjang laluan itu.
Tiba-tiba, langkahnya terhenti. Dia menoleh ke kanan. Matanya berkaca. Abahnya, Mohd Radzi serta ibunya ada di situ. Bersama-sama mereka ada abang-abangnya dan bekas suaminya.
“Ma, abah, ampunkan Ira. Ira bersalah.” Air matanya gugur juga ketika itu.
“Sebelum Ira pergi, izinkanlah Ira peluk mama dengan abah walaupun sekali. Ira teringin sangat.” Pintanya sayu, penuh mengharap. Suasana di perkarangan mahkamah itu tiba-tiba senyap. Masing-masing menantikan tindak balas suami isteri itu. Mereka tetap juga begitu, langsung tidak sudi memandang wajah Atirah. Arif dan Azim memujuk kedua-dua orang tua mereka. Namun, kedua-duanya menggeleng kepala tanda tidak mahu. Air mata Atirah mengalir semakin laju.
“Tak apalah kalau.. ma…mama dengan abah t..ta..tak sudi. Ira tetap sayang mama dengan abah sampai bila-bila.” Sedaya-upaya Atirah bersuara melawan esakannya.
“Tapi, luka dalam hati Ira ni…” Atirah meluruskan jari telunjuknya ke dada. Tangannya terketar-ketar.
“…dalam sangat. Tak ada siapa pun yang akan faham…”
“Abang Long, Abang Ngah, ampunkan Ira ya.”
Mata Atirah beralih pada Ihsan pula. Inilah dia insan yang dia kasihi selama hayatnya ini. Lelaki yang pernah menjadi suaminya. Atirah sedar Ihsan gugup untuk membalas pandangan seorang pembunuh sepertinya.
“Ihsan, kalau saya diberi pilihan, saya tak mahu menjadi Atirah yang menjadi kebencian semua orang. Saya mahu menjadi Atikah yang menjadi kesayangan semua termasuk awak…”
Entah kenapa, hati Ihsan terluka sama mendengar pengakuan tulus Atirah. Sungguh dalam maksudnya sehingga Ihsan sendiri terasa tersindir dengan kata-kata itu. Atirah mencintainya?
Atirah kemudiannya dibawa pergi ke kenderaan polis yang sedia menantinya di situ. Inilah pengakhiran hidupnya. Takdirnya tertulis begini. Semoga tiada Atirah lain dalam dunia ini, pohonnya dalam hati.

**************************

Aku dan Atikah… kami dilahirkan kembar tetapi tidak seiras, lalu takdir hidup kami juga tertulis berbeza. Dia anak kesayangan mama dan abah. Mama dan abah sering melebihkan dia dan gemar membandingkan kami berdua sehingga aku terasa rendah diri. Namun begitu, aku cuba untuk redha…
Airina, adik kesayanganku. Dia sangat lincah dan menjadi buah hati semua orang di dalam rumah ini termasuk aku. Kenakalannya kadang-kala merimaskan tetapi dialah pengubat di kala aku terasa kesunyian di rumah besar itu.
Tetapi, bukan pintaku nyawanya diragut dek kemalangan itu. Aku rela menggantikan nyawaku dengannya jika itu yang dapat memuaskan hati mama dan abah yang menuduhku menjadi punca kematian Airina. Tahukah mama dan abah, aku juga tidak pernah berhenti menyalahkan diriku atas kejadian ini. Parut-parut luka penangan tali pinggang abah masih ada lagi di tubuhku. Kalaulah aku tidak leka waktu itu… aku lebih rela kalau aku yang dilanggar lori itu dan bukannya Airina. Airina masih kecil…
Rupanya, takdir hidupku lebih berat lagi selepas ketiadaan Airina. Mama dan abah seolah-olah membuang aku terus dari hidup mereka. Atikah menjadi pengganti Airina di kala aku masih menangisi kehilangan Airina. Atikah menjadi satu-satunya puteri kesayangan mama dan abah. Lalu, di mana letaknya aku?
Aku menyesal mama, abah …Bertahun-tahun aku belajar memujuk diri. Penyesalan itu mengekori hidupku sehingga kini. Aku kebalkan hati supaya tidak terluka melihat abang long, abang ngah dan Atikah dimanjakan di hadapanku. Aku juga mahu disayangi seperti mereka.
Kemudian, Syawal datang dalam hidupku. Dia berikan aku perhatian dan kasih sayang yang tidak pernah aku peroleh dari abang-abangku. Sikap ambil beratnya membuatkan aku kembali bersemangat untuk melalui hidup ini. Rupanya, aku salah tafsir kebaikannya padaku. Dia mendekatiku kerana ingin menyelongkar diri Atikah. Hatinya untuk Atikah…
Perkahwinan Atikah meriah. Aku kecewa. Air mataku gugur lagi waktu itu. Atikah mendapat segalanya yang aku idamkan. Kesempurnaannya membuatkan aku cemburu. Cantik, bijak dan menjadi kesayangan semua orang. Padahal, aku terus-terusan dipersalahkan atas kematian Airina.
Atikah tidak pernah merasa kesukaranku melalui hidup ini dalam kebencian orang. Dia juga tak pernah melalui apa yang pernah aku lalui. Tahukah dia perasaanku tatkala pulang bercuti ke rumah dan mendapati mama dan abah sekeluarga telah lama berangkat ke Jerman untuk meraikan Aidilfitri bersamanya tanpa pengetahuanku. Juga kesukaran aku bekerja untuk menanggung yuran pengajianku. Banyak kali aku terpaksa ikat perut gara-gara wangku tidak mencukupi walaupun abah orang berada. Aku lakukan semuanya sendirian tanpa sesiapa yang menyokong dari belakang. Aku umpama sebatang kara…
Kemudian, Ihsan datang. Dia bagai cahaya dalam hidupku. Aku menyayanginya dalam setiap denyutan jantungku. Dia lelaki yang aku sandarkan harapan hidup ini. Rupanya, sekali lagi aku diperbodohkan oleh perasaanku sendiri. Dia bekas kekasih Atikah. Dia mengahwiniku kerana mahu dekat dengan Atikah. Hati aku berderai lagi.
Sekali lagi aku kalah dengan Atikah. Kenapa begini takdirnya? Tak layakkah aku untuk disayangi? Patutkah aku dihukum begini kerana kematian Airina? Pada siapa aku perlu mengadu? Aku juga punya hati dan perasaan… Kerana Atikah aku jadi begini. Aku tertekan dengan hidup yang aku lalui. Aku seperti mahu mati…
Atikah, aku sangat membenci kau. Maafkan aku…

Perlahan-lahan, muka surat diari itu Ihsan koyak dan menggumpalnya sebelum dibuang ke dalam tong sampah. Air mata lelakinya jatuh lagi.
Diari itu baru semalam dijumpainya di apartment yang dikongsinya bersama Atirah semasa mereka menjadi suami isteri dahulu. Diari itu tersimpan elok di bawah tilamnya entah untuk berapa lama. Mungkin Atirah terlupa untuk mengambilnya semasa mahu berpindah dahulu.
Kebetulan, baru kelmarin hukuman gantung ke atas Atirah dilaksanakan. Sehari sebelum itu, Ihsan sempat berjumpa dengannya. Atirah tidak banyak bicara. Dia cuma bertanyakan tentang mama dan abahnya yang tidak pernah melawatnya di situ. Ada sendu di wajahnya tika itu.
Sebelum pulang, Atirah sempat menitipkan pesanan buatnya.
“Kirim salam pada mama dan abah saya. Katakan pada mereka, sayang saya tetap ada buat mereka walaupun mereka membenci saya. Satu lagi… “
“Apa dia?” sesaat, dua saat, tiga saat, masa berlalu.
“Sa..saya mencintai awak…”
Atirah terus berlalu setelah mengucapkan kata keramat itu. Terkaku Ihsan di tempatnya berdiri. Maafkan aku Atirah kerana tidak pernah memberi kebahagiaan yang kau impikan. Maafkan aku…

****TAMAT