Rabu, 23 September 2009

ISU BAHASA DALAM SISTEM PENDIDIKAN NEGARA:
PENGAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS


LATAR BELAKANG
Pada tahun 1993, Perdana Menteri waktu itu, Dr. Mahathir Mohamad membuat pengisytiharan bahawa semua kuliah sains dan tekonologi di universiti hendaklah disampaikan dalam bahasa Inggeris. Keputusannya itu bertentangan dengan pendiriannya pada awal tahun 1970-an ketika menjadi Pengerusi Majlis Universiti Kebangsaan Malaysia, yang dengan tegas menyatakan bahawa bahasa Melayu mestilah dijadikan bahasa penghantar utama untuk semua kursus di universiti.

Pada waktu itu, kumpulan-kumpulan cendekiawan yang faham dan masih kental semangat kebangsaannya mengadakan pertemuan demi pertemuan dan gerakan menasihati kerajaan agar tidak melaksanakan keputusan Perdana Menteri. Sebahagian besar memorandum, resolusi dan pernyataan serta makalah yang membantah keputusan telah diterbitkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia pada tahun 1996 dalam buku yang berjudul Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa, dengan Allahyarham Asraf sebagai editornya. Kebetulan ketika itu masih ada tenaga unggul dalam kepemimpinan negara yang menjadi penaung kepada gerakan kebangsaan sehingga akhirnya keputusan itu senyap begitu sahaja.

Tidak sampai 10 tahun kemudian, iaitu pada tahun 2002, Perdana Menteri yang sama membuat pengumuman bahawa mata pelajaran sains dan matematik di sekolah akan diajarkan dalam bahasa Inggeris pada tahun berikutnya, iaitu tahun 2003. Inilah rasanya kali pertama dalam sejarah negara ini satu dasar baru (yang tidak pula berdasarkan pindaan Akta Pendidikan) yang merombak dasar selama puluhan tahun dilaksanakan dalam tempoh yang cukup singkat, iaitu satu tahun. Orang yang tidak lupa kepada sejarah dasar dan sistem pendidikan di negara ini tentu masih ingat bahawa dasar pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan yang digagaskan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 dan kemudian diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 hingga diterapkan dalam Akta Pelajaran 1961, baru dilaksanakan dengan pesat pada tahun 1970 apabila Abdul Rahman Ya`kub (kini Tun Patinggi) menjadi Menteri Pelajaran. Ertinya untuk melaksanakan dasar yang menjadi acuan pembentukan generasi baru yang bersatu padu dan memperoleh ilmu serta sistem nilai melalui satu bahasa kebangsaan hanya dapat dimulakan berbelas-belas tahun kemudian.

Kemudian apabila kerajaan mendapati perlunya sistem pendidikan yang menekanakan aspek manusiawi, maka Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Dr. Mahathir Mohamad sebagai Menteri Pelajaran ketika itu membuat kajian dan menerbitkan kajian itu pada tahun 1979. Sebagai hasil rumusan dan syor jawatankuasa tersebut, dirancang pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Ternyata bahawa permulaan pelaksanaan dasar dan sistem baru itu mengambil waktu lapan tahun kerana hanya dilaksanakan pada tahun 1988.

DASAR YANG MENIMBULKAN TANDA TANYA
Setelah terlaksana Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama selama kira-kira 30 tahun, dengan kejayaan melahirkan tidak kurang 5.4 juta lepasan di peringkat SPM yang sebahagiannya kemudian melanjutkan pengajian di peringkat tinggi dan menjadi tenaga penggerak pembangunan negara dalam pelbagai bidang, dilakukan perubahan yang cukup drastik. Sudah ada ribuan profesor dan ahli akademik dalam pelbagai bidang yang lahir daripada Sistem Pendidikan Kebangsaan. Sudah banyak ahli profesional dalam pelbagai bidang yang juga lahir daripada sistem pendidikan negara yang berteraskan bahasa kebangsaan. Adakah Dasar dan Sistem Pendidikan Kebangsaan telah gagal? Jika benar, manakah kajian yang dijalankan yang membuktikan kegagalan itu?

Selain tiada kajian yang dijalankan tentang Dasar dan Sistem Pendidikan Kebangsaan, dalam konteks penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar utama, tiada juga kajian yang dilakukan untuk melaksanakan dasar baru penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar sains dan matematik. Tiada perundingan yang dilakukan dengan pakar-pakar pendidikan, ahli-ahli bahasa dan pihak-pihak berkepentingan yang lain. Barangkali ada perundingan dengan pihak tertentu secara eksklusif yang tidak diketahui dengan pasti siapa dan apa inti pati perundingan itu, sedang bidang pendidikan merupakan bidang yang menentukan nasib semua rakyat. Bahkan tiada sama sekali dilakukan cuba uji melalui projek rintis di sejumlah sekolah seperti yang lazimnya dilakukan dalam pelaksanaan mana-mana sistem yang baharu.

Seminar, forum, dialog, memorandum dan pernyataan media yang mengemukakan bantahan atau sekurang-kurangnya permintaan agar ditangguhkan pelaksanaan dasar baharu itu hampir-hampir tidak diendahkan. Persatuan Linguistik Malaysia, misalnya, banyak menganjurkan forum, perbincangan, penyediaan memorandum, surat dan pernyataan media tentang isu tersebut tetapi tidak tampak reaksi dan respons yang positif daripada pihak berkuasa. Pertemuan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Perdana Menteri pada waktu, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad dan timbalannya yang kini menjadi Perdana Menteri pada tahun 2002, dan juga pertemuan Kumpulan Prihatin dengan Perdana Menteri baru pada tahun 2005, di samping beberapa pertemuan dengan Menteri Pendidikan dan beberapa orang pemimpin lain tampaknya tidak menyebabkan sebarang perubahan dalam pelaksanaan dasar tersebut.

Resolusi Kongres Pendidikan Melayu Kedua pada 26 – 27 Mac 2005 yang mendesak ditangguhkan pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris pun dipandang sepi. Malah beberapa hari sesudah tamat kongres itu, Timbalan Perdana Menteri yang mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri mengumumkan bahawa dasar itu diteruskan, walaupun dalam ucapan penutupan kongres beliau berjanji bahawa kerajaan akan membuat kajian yang mendalam untuk menimbangkan keputusan meneruskan atau menangguhkan dasar baharu itu. Sejarah baharu telah berlaku di negara ini sekali lagi apabila “kajian mendalam” selesai dalam tempoh hanya tiga hari! Yang bangkit bersuara orang-orang yang sama, yang telah dianggap fanatik, ekstrem, jumud dan pernah didakwa pengkhianat, kerana kononnya menghalang anak bangsa menjadi pandai dan menghalang anak bangsa menguasai bahasa asing – suatu fitnah besar yang dilontarkan kepada para pejuang bahasa sebagai usaha menutup isu yang sebenarnya. Tiada seorang pun pejuang bahasa yang menafikan pentingnya penguasaan bahasa asing, malah mereka monyokong apa-apa langkah meingkatkan penguasaan bahasa yang dapat membantuk kemajuan bangsa dan negara. Isu yang dibangkitkan ialah peminggiran bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahas ilmu dalam proses peningkatan pengusaan bahasa asing – hal yang tidak wajar berlaku kerana maruah dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan tonggak tamadun bangsa tidak patut digadaikan atas alasan apa pun. Apabila Persatuan Linguistik Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan Siri Bicara Bahasa (siri1 – 20) sebagai wadah membahaskan isu tersebut, ada arahan lisan yang “mengharamkan” terbitan itu daripada diedarkan.

IMPLIKASI KEPADA BANGSA DAN NEGARA
Beberapa kajian ilmiah di peringkat sarjana dan kajian institusi serta individu tertentu menunjukkan bahawa pelaksanan dasar baharu itu telah menunjukkan tanda awal bencana dan padah yang bukan kecil. Implikasi negatif yang cukup segera dirasakan daripada pelaksanaan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik, terutama oleh anak-anak di luar bandar yang majoritinya orang Melayu ialah gangguan dalam penguasaan ilmu sains dan matematik disebabkan oleh faktor penggunaan bahasa asing.

Pelajar mengalami masalah kerana terpaksa memindahkan konsep-konsep sains dan matematik daripada bahasa asing ke dalam bahasa ibundanya dalam keadaan pelajar tidak atau belum menguasai bahasa asing itu. Bilangan pelajar yang terlibat dengan pelaksanaan dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sehingga tahun 2004 ialah 1.88 juta orang. Jika sekalipun 50% daripada mereka yang tinggal di kawasan bandar dianggap menguasai bahasa Inggeris, namun terdapat hampir 1 juta (0.94 juta), terutama pelajar di luar bandar yang menghadapi masalah pemelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Hakikat yang penting ialah bahawa golongan pelajar yang paling banyak menjadi mangsa daripada pelaksanaan dasar tersebut terdiri daripada anak-anak bangsa Melayu.

Kajian yang dijalankan oleh pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Nor Hashimah Jalaluddin (2004) menunjukkan ketidaksediaan pelajar belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggerus. Kenyataan tersebut tergambar pada dapat kajian bahawa 75% pelajar tidak setuju sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris, 77% setuju bahawa bahasa Melayu mampu menyampaikan sains dan matematik dengan berkesan, 71% meminati sains dan matematik kerana diajarkan dalam bahasa Melayu, 70% yakin akan cemerlang dalam sains dan matematik jika diajarkan dalam bahasa Melayu. Kajian DBP-UKM pada tahun 2004 tentang persepsi pelajar menunjukkan bahawa amat rendah tahap kesediaan pelajar untuk menerima pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kesediaan mereka belajar sains dan matemtik sepenuhnya dalam bahasa Inggeris hanya 5.9% (untuk sains) dan 5% (untuk matematik).

Yang lebih malang lagi, kajian yang dijalankan oleh DBP-UKM (2004) menunjukkan penurunan prestasi yang cukup mencemaskan dalam kalangan pelajar yang terlibat dalam mata pelajaran sains, matematik, bahasa Inggeris dan bahkan bahasa Melayu. Dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun Tingkatan 2 pada tahun pengajian 2004 (pelajar yang mula belajar sains dan matematik di tingkatan 1 pada tahun 2003 dalam bahasa Inggeris), peratus pelajar yang mendapat gred cemerlang (gred A) bagi mata pelajaran sains hanya 11.9% dan bagi mata pelajaran matematik hanya 16.9%. Hampir separuh daripada sampel yang dikaji (45.49%) mendapat gred gagal dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut. Bagi mata pelajaran bahasa Inggeris pula, hanya 10.4% yang mencapai gred A. Malang sekali apabila yang mencapai gred A dalam mata pelajaran bahasa Melayu hanya 18.7% dan 16.7% malahan gagal (mendapat gred E). Kejatuhan prestasi dalam mata pelajaran bahasa Melayu itu barangkali disebabkan kekeliruan yang terjadi pada guru dan juga pelajar dalam tempoh peralihan yang mengejut pelaksanaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains dan matematik.

Pihak yang sangat penting dalam pelaksanaan dasar tersebut, iaitu guru sendiri menghadapi masalah yangbesar amat besar. Daripada sejumlah 181,340 orang guru di sekolah rendah pada tahun 2004, dianggarkan kira-kira 80,000 orang terlibat dalam pengajaran sains dan matematik dan semuanya terlatih dalam bahasa Melayu yang dijadikan bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara sejak tahun 1970. Dengan pelaksanaan dasar tersebut secara mendadak, dapat dipastikan berlakunya masalah pengajaran yang dihadapi oleh guru-guru. Kajian yang dijalankan oleh DBP-UKM pada tahun 2004 di 242 buah sekolah menengah di seluruh negara menunjukkan bahawa guru tidak mempunyai kesediaan untuk mengajarkan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Hanya 54.7% guru sains dan 62.2% guru matematik yang mampu menerangkan konsep sians dan matematik dalam bahasa Inggeris. Satu kajian lain yang dijalankan pada tahun 2004 dengan jelas menunjukkan bahawa 81% guru mahu sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu, 72% mengatakan bahawa pencapaian pelajar dalam sains da matematik akan lebih cemerlang jika diajarkan dalam bahasa Melayu, dan 79% berpendapat bahawa pelajar lebih dapat menumpukan perhatian jika kedua-dua mata pelajaran itu diajarkan dalam bahasa Melayu.

Jelas bahawa proses pengajaran dan pemelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tidak dapat mencapai hasrat untuk meningkatkan pelajar kita dalam bidang-bidang tersebut, malah sebaliknya menurunkan penguasaan mereka dalam bidang-bidang berkenaan. Dalam jangka lima tahun pelaksanaan dasar baharu ini, dijangka ratusan ribu pelajar akan gagal atau tidak cemerlang pencapaiannya dalam sains dan matematik dan fenomena ini melibatkan majoriti pelajar di luar bandar yang jelas terdiri daripada anak-anak Melayu. Implikasi ini secara langsung menjejaskan keutuhan bangsa Melayu yang memang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang di negara ini. Bidang pendidikan yang diharapkan dapat melonjakkan citra dan martabat bangsa Melayu akan sebaliknya menjadi alat yang menjatuhkan bangsa Melayu sendiri.

Daripada segi sosial dan politik, kesan-kesan buruk daripada pelaksanaan dasar baharu ini akan menggoncang kestabilan sosial dan politik negara, disebabkan akan wujud ketidakseimbangan pencapaian akademik yang akhirnya melebarkan jurang antara kaum dan kelas masyarakat. Usaha kerajaan untuk menyeimbangkan pencapaian anak-anak Melayu dalam bidang pendidikan, dan seterusnya dalam bidang profesional akan terjejas dengan teruknya dan keyakinan orang Melayu kepada pemimpin dan parti teras pemerintah negra, iaitu UMNO akan merosot atau hilang. Kehilangan keyakinan itu akan melemahkan kekuatan politik Melayu yang diharapkan dapat menjamin keutuhan bangsa apabila, misalnya pengundi Melayu sendiri mengalihkan sokongan mereka kepada parti lain sebagai tanda protes. Sekali lagi pemimpin kita cukup bertolak ansur apabila sekolah kebangsaan diwajibka mematuhi arahan dasar baru tetapi pada waktu yang sama sekolah jenis kebangsaan diberi izin meneruskan penggunaan bahasa ibunda (di samping bahasa Inggeris) untuk mengajarkan sains dan matematik. Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri yang memang ditubuhkan untuk memajukan bahasa kebangsaan, menjelang pelaksanaan dasar baru itu telah dilarang menerbitkan buku teks pilihan dalam bahasa Melayu bagi sains dan matematik untuk kepentingan anak-anak Melayu di luar bandar. Mulia sungguh hati budi pemimpin Melayu!

Kini peribahasa “lulus jarum luluslah kelindan” sudah mula berlaku di Institusi Pengajian Tinggi Awam apabila semua universiti kerajaan telah mula melaksanakan dasar ke arah pengajaran subjek-subjek sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, sebagai suatu kelanjutan logis daripada dasar yang dilaksanakan di peringkat sekolah. Universiti tiada pilihan lain kerana pelanggan yang diterima merupakan mereka yang telah dilatih dalam bahasa Inggeris. Yang menghairankan ialah bahawa apabila Naib Canselor Universiti Putra Malaysia membuat pengumuman pada sekitar bulan Ogos 2004 bahawa universiti itu akan melaksanakan pengajaran dalam bahasa Inggeris bagi kursus-kursus sains dan teknologi, Timbalan Perdana Menteri sendiri membuat kenyataan bahawa langkah itu bertentangan dengan dasar pendidikan negara. Dalam akhbar sekitar bulan Jun atau Julai 2005, tersiar pula dalam akhbar teguran kepada universiti awam yang lewat melaksanakan pengajaran kursus sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris. Apakah ertinya semua ini? Universiti Kebangsaan Malaysia yang ditubuhkan sebagai mercu tanda Dasar dan Sistem Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama, menurut sumber dalaman, telah sedia untuk melaksanakan dasar baru itu.
Akhirnya, kita akan menyaksikan kesan-kesan yang berikut daripada penarikan semula dasar bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama:

1. AKIBAT KEPADA BAHASA MELAYU

Proses menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu dan bahasa moden akan terhenti. Sebaliknya bahasa Melayu akan terperosok sebagai bahasa pasar sahaja. Istilah yang telah dicipta yang telah mencecah hampir satu juta untuk ratusan bidang ilmu, termasuk ilmu terkini seperti aeroangkasa, dengan pelibatan beratus-ratus pakar bidang ilmu, tidak akan digunakan dan istilah baru tidak akan dicipta lagi. Buku dalam bidang sains, perubatan, ekonomi, perniagaan dan teknologi tidak akan diterbitkan dalam bahasa Melayu kerana tidak akan ada lagi pembacanya. Kedudukan bahasa Melayu dalam semua bidang, terutama dalam bidang ilmu dan perniagaan di negara bertuah Malaysia ini akan jatuh ke nombor tiga di bawah bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin.

Amatlah mencemaskan bahawa pada satu waktu kelak bahasa Melayu hanya menjadi bahasa penghantar bagi kira-kira 20% sahaja, iaitu bagi mata pelajaran yang bukan tergolong dalam sains dan teknologi. Selalu dihujahkan bahawa perubahan ini hanya bagi dua mata pelajaran sahaja. Hakikatnya jauh berbeda.Yang berikut ini ialah unjuran yang dapat dirumuskan daripada perancangan yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran:

• Sekolah Rendah:

BM 60%; BI 40%

• Sekolah Menengah:

Tingkatan 3: BM 62%; BI 38%
Tingkatan 4 & 5 Sastera: BM 56%; BI 44%
Tingkatan 4 & 5 Sains: BM 36%; BI 64%
Tingkatan 4 & 5 Biologi: BM 33%; BI 67%
Tingkatan 4 & 5 Reka Cipta: 32%; BI 68%
Tingkatan 4 Akaun: BM 47%; BI 53%
SPM: BM 29%; BI 71%
Tingkatan 6 Sastera: BM 60%; BI 40%
Tingkatan 6 Sains dan Matrikulasi: BM 20%; BI 80%

• Peringkat Universiti:

BM: Kursus Sastera dan Pengajian Islam; BI: Semua kursus lain

(Catatan: Malah ada kursus sastera di universiti tertentu yang diwajibkan dikuliahkan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris)

2. AKIBAT KEPADA PELAJAR-PELAJAR MELAYU
Kesannya kepada pelajar, terutama pelajar Melayu daripada sudut penguasaan ilmu sains dan matematik buruk sekali. Kajian menunjukkan pelajar yang masih belum mempunyai kemahiran kecekapan bahasa yang asas akan menghadapi masalah untuk membaca buku teks, berdailog, berdebat dan memberikan gerak balas bertulis dalam ujian dan peperiksaan. Inilah masalah sebenar yang dihadapi oleh pelajar-pelajar Melayu kini. Masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan hanya menuding jari kepada pelajar dan guru bahawa mereka mahu mencari jalan mudah. Belum terbukti di mana-mana pun alat teknologi mampu menggantikan guru di bilik darjah. Yang perlu diingat, wajarkah kita memperjudikan nasib masa depan anak bangsa kita dengan menggunakan kaedah yang tidak, atau sekurang-kurangnya belum terbukti berhasil di mana-mana di muka bumi ini? Seorang bernama Steven Lee telah membangkitkan hal ini dalam Berita Harian 19 April 2005 bertajuk, “Pendekatan Pembelajaran Bukan Boleh ‘Dicuba-cuba’”.

3. AKIBAT KEPADA MEDIA MASSA BERBAHASA MELAYU
Tahun 60-an dulu tulisan Jawi dikeluarkan daripada bilik darjah. Akibatnya, hari ini ramai orang Melayu yang buta Jawi. Akhbar Utusan Melayu dulu menjadi lidah dan alat perjuangan bangsa Melayu. Kini Utusan Melayu dalam keadaan nazak, tidak lagi mampu menjadi wadah pemikiran dan penyatuan umat Melayu. Inilah yang akan berlaku kepada media berbahasa Melayu 20 tahun dari sekarang. Akhbar Melayu tidak akan lagi memuatkan ruangan teknologi, kesihatan, ekonomi, perniagaan, komputer dan lain-lain kerana tidak akan ada pembacanya. Pembaca akhbar nanti tidak lagi menguasai istilah dalam bidang-bidang ini dalam bahasa Melayu. Bolehkah akhbar hidup tanpa ruangan ekonomi, perniagaan, kesihatan, sains, teknologi dan sebagainya? Lihat saja Utusan
Melayu. Itulah gambaran masa depan akhbar arus perdana berbahasa Melayu. Pada hari ini pun, di negara Malaysia yang kita cintai ini, edaran akhbar terbesar berbahasa Melayu jatuh ke nombor tiga di bawah akhbar berbahasa Mandarin dan Inggeris. Bayangkan 10 tahun dari sekarang akibat penukaran bahasa penghantar 80% mata pelajaran di sekolah ke dalam bahasa Inggeris.

3. AKIBAT POLITIK KEPADA ORANG MELAYU DAN UMNO
Kemerosotan kedudukan bahasa Melayu, kelemahan pelajar Melayu menguasai ilmu-ilmu sains, teknologi dan matematik serta kemerosotan akhbar Melayu akan membawa padah politik yang cukup menggerunkan bagi UMNO dan umat Melayu. Bagaimanakah UMNO mahu mempengaruhi orang Melayu kalau akhbar arus perdana Melayu nanti sudah seperti Utusan Melayu hari ini – amat tipis, terbit hanya seminggu sekali, kecil jumlah edarannya dan tidak lagi berupaya menggembleng pemikiran orang Melayu? Dengan serangan globalisasi dan masuknya pelbagai aliran fahaman Islam dari luar, pandangan dan pegangan hidup umat Melayu pastinya akan bertambah rencam dan berserpihan. Dan pada waktu itu alat yang ampuh untuk mempersatukan pemikiran mereka, iaitu bahasa, sudah tidak bertenaga lagi untuk berbuat demikian.

Kos budaya, pendidikan dan politik bagi penyelewengan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan ini terlalu menggerunkan untuk diabaikan. Apa yang dikatakan sebagai perubahan bahasa penghantar dua mata pelajaran sahaja sebenarnya akan membawa durjana kepada bangsa Melayu. Inilah akibatnya apabila kita melompat sebelum berfikir panjang.

SESAT DI HUJUNG JALAN BALIK KE PANGKAL JALAN

Pihak yang mendakwa dirinya kritis sering bertanya: Apakah penyelesaian terhadap masalah yang ditimbulkan oleh pejuang-pejuang kebangsaan itu? Sebenarnya masalah yang sedang kita hadapi ini merupakan hasil ciptaan kita sendiri. Lain yang luka lain yang dibebat. Kita sudah mempunyai Dasar Pendidikan yang telah terbukti mantap. Ini tidak bermakna bahawa pelaksanaan dasar ini tidak mengalami masalah. Terdapat masalah mutu pendidikan sekolah kebangsaan, terdapat kelemahan disiplin, masih tidak cukup ruang untuk membuka minda pelajar menjadi kreatif dan dalam konteks isu yang sedang kita bincangkan ini, terdapat kelemahan yang ketara dalam hal penguasaan sejumlah pelajar dalam bahasa Inggeris.

Cara menyelesaikan masalah ini ialah dengan menentukan fokus dan membuat diagnosis yang betul. Kita harus memfokuskan perhatian untuk menyelesaikan masalah ini, bukan mengundang masalah baru dengan mencipta kaedah yang belum teruji di mana-mana pun. Antara yang perlu difikirkan dan disusuli dengan tindakan oleh kerajaan dalam menangani masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar termasuklah:

1. Dalam hubungan dengan isu yang sedang dibicarakan ini kita harus memfokuskan perhatian kepada masalah meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar di sekolah dengan menggunakan kaedah yang lebih kemas kini dan berkesan dan memberikan latihan yang sempurna kepada guru bahasa Inggeris. Hampir semua negeri di negara ini masih menghadapi kekurangan guru bahasa Inggeris yang terlatih. Sering dibangkitkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris sebahagian daripada guru bahasa Inggeris itu sendiri tidak memuaskan.

2. Mungkinkah pengajaran bahasa dijalankan dengan sempurna dalam kelas yang melebihi 40 orang, terutama pada peringkat darjah satu? Di negara yang maju, jumlah pelajar setiap kelas di sekolah rendah kecil sekali sehingga tidak sukar bagi guru mengawal kelas dan memberikan perhatian kepada setiap pelajarnya.

3. Di Amerika, tempat terdapatnya ramai pelajar berbahasa ibunda asing, bahasa Inggeris diajarkan secara tuisyen, satu pelajar satu guru bagi pelajar yang lemah. Kita mesti mengkaji dan menggunakan kaedah yang telah terbukti berkesan di tempat lain.

4. Prasarana pendidikan yang memungkinkan proses pengajaran dan pemelajaran berlangsung dengan berkesan peru diberi perhatian utama. Makmal bahasa, bekalan elektrik, bahan pengajaran dan pemelajaran bercetak dan elektronik dan yang lain-lain perlu segera dilengkapkan. Jurang kemudahan antara sekolah di bandar dengan sekolah di luar bandar perlu dikambus segera.

5. Mengadakan kursus bahasa Inggeris untuk keperluan khusus kepada lepasan sekolah dan universiti sebagai peneguhan penguasaan bahasa Inggeris untuk alam pekerjaan.

DOA DAN HARAPAN
Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Tidak ada insan, kecuali nabi dan rasul, yang tidak berbuat silap. Kini waktunya kita semua merapatkan barisan untuk meneguhkan sikap dan perjuangan mempertahankan asas-asas kebangsaan dan kenegaraan, termasuk bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Segala pandangan para pejuang bahasa perlu direnung dengan saksama dan dengan berlapang dada. Mereka bukan musuh negara. Mereka bukan pengkhianat bangsa. Selama mereka masih mahu bersuara untuk memberitahukan yang benar, maka eloklah pandangan itu dinilai dengan bijaksana. Mereka sekadar memperjuangkan dasar negara yang sama-sama dibina dan diterima sejak sebelum kemerdekaan dan kemudian menjadi asas kenegaraan. Yang ada pada mereka hanya suara, bukan kuasa. Maka bersuaralah mereka; selaras juga dengan sabda Nabi bahawa baikilah sesuatu keadaan yang tidak betul dengan tiga cara – tangan, lidah dan hati.

Bersama-samalah kita terus berusaha dan berdoa semoga landasan kenegaraan yang telah diasaskan oleh para pemimpin terdahulu tidak dipinda dan dirobah tanpa berfikir panjang. Usahlah terjadi ”Yang dikendong tak dapat, yang dikejar berceceran”.Berpadalah sudah kita dengan kerugian yang telah ditanggung oleh bangsa oleh baiknya dan mulianya hati kita melayan kehendak orang. Kepada Allah jua kita memohon pertolongan agar perjuangan kita diredhai dan diberkati-Nya.

oleh: Prof. Dr. Awang Sariyan


***Syukur alhamdulillah...akhirnya, sains dan matematik akan diajar semula dalam bahasa Melayu pada tahun 2012...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan